Wednesday, December 19, 2018

DIARI MINGGU KE 11


Kelas minggu ke 11, kami diminta untuk membentangkan tentang tugasan perbandingan kurikulum yang telah kami buat sepanjang 11 minggu ini dan juga pelan pembelajaran yang telah kami reka bagi tugasan kami.Semua pelajar membentangkan perbandingan kurikulum negara masing-masing mengikut kumpulan serta pelan pembelajaran yang telah direkabentuk mengikut program atau subjek yang telah mereka pilih. Seperti kumpulan saya, kami membandingkan kurikulum negara Malaysia dengan kurikulum negara Indonesia, Malta, New York dan New Zealand. Kurikulum kumpulan kami pula berfokuskan kepada subjek Matematik. Pelan Pembelajaran kami berfokuskan pada bidang statistik iaitu Mod, Min, dan Median yang diajar pada pelajar tingkatan 2 di Malaysia.Walaupun kelas tersebut agak ringan , tapi ianya memberi kesan yang banyak lagi-lagi apabila ilmu yang didapati itu adalah daripada rakan sekelas. 
Saya juga merasakan bahawasanya ada sesetengah topik adalah lebih sesuai untuk membuatkan pelajar sendiri yang menyampaikan kepada kawannya manakala cikgu hanya menilai perbentangan mereka disamping memandu pelajar jika ada kesilapan yang mereka lakukan.

Perkara ini boleh dikatakan sebagai pendidikan yang berpusatkan kepada pelajar. Salah satu contoh yang hampir sama dengan ini adalah "jigsaw" dimana guru memberikan tugas kepada pelajar untuk membuat beberapa subtopik tersebut dan apabila digabungkan, ianya akan membuatkan keseluruhan topik terbentuk. Lantas pelajar-pelajar ini akan dapat menghubungkan setiap subtopik yang telah mereka buat dengan sendirinya.

Namun saya berasa agak sedih, teramat sedih lagi menyedihkan kerana saya hanya dapat membentang perbentangan saya tidak sampai seminit pun ... huhuhuhu :'( *saya gurau je, saya ok je.. Overall, jutaan terima kasih kepada Dr. Dorothy kerana telah banyak mendidik saya dan saya minta maaf seandainya terdapat kesalahan ataupun terkurang sopan dengan Dr. sepanjang kelas Dr.

Diari Minggu ke 10

Hari ini merupakan hari yang menyeronokkan bagi saya.. sebab apa??

Dr. Dorothy bawa VR GOGGLES pergi kelas WEYHHHHH !!!!




Seronok weyh.. Dr. Dorothy bagi main game dalam kelas .. game VR lagi tu ~
Seronok-seronok pun saya belajar banyak benda dalam kelas hari tu..

Pertamanya, saya dapat belajar cara untuk mengawal pelajar dalam kelas jika ingin membenarkan mereka menggunakan sesuatu teknologi buat suatu masa yang telah saya tetapkan sebagai guru.

Keduanya, saya melihat betapa teknologi dalam pelajaran ini bukan sahaja dapat memberikan pengajaran dan ilmu kepada pelajar. Teknologi dalam pelajaran juga dapat meningkatkan lagi semangat pelajar-pelajar di dalam kelas. Mungkin hal ini kerana, mereka akan menjadi lebih bersemangat kerana guru memberi mereka peluang untuk bermain sambil belajar menggunakan teknologi dan akan sentiasa menunggu-nunggu permainan yang seterusnya.

Perisian Kahoot juga digunakan oleh Dr. Dorothy untuk menguji kefahaman kami tentang pedagogi dalam kelas. Ini membuatkan kami teruja kerana kami tidak pernah mengalami perkara-perkara seperti ini dalam pendidikan.

Perisian Kahoot ini telah saya perhatikan buat beberapa ketika. Apa yang saya dapati adalah kesemua pelajar akan berasa teruja dan bersemangat untuk menjawab dan semangat itu akan kekal lama dalam pelajar sekalipun permainan itu sudah tamat. Perkara ini saya rasakan akan dapat menanamkan lebih banyak semangat cinta akan ilmu yang lebih banyak dalam diri pelajar

Cuma satu sahaja yang sering menjadi tanda tanya tentang bermain sambil belajar ini iaitu adakah ianya sesuai dilakukan pada awal sesi pembelajaran atau di akhir pembelajaran? Atau ianya bergantung pada matapelajaran ataupun topik yang diajar pada waktu itu?



DIARI MINGGU KE 9 

Pada hari ini, aku belajar tentang pedagogi "cara mengajar". Terdapat pelbagai teknik pengajaran yang boleh digunapakai dalam sesi pengajaran namun pada aku sendiri, teknik yang paling aku sukai ada "blended learning" dimana sesi pembelajarannya berpusatkan kepada pelajar dan guru. Bukan apa, pada aku jika terlalu berpusatkan pada guru, pelajar akan menjadi bosan dengan teknik "spoon feed" dan jika pelajaran itu terlalu berpusatkan pada pelajar, guru akan berasa bosan dan seakan-akan tiada tugas yang perlu diambil berat.

Dengan Blended Learning ini, pelajar dan guru akan perlu saling memainkan peranan masing-masing dimana guru perlu menyediakan bahan-bahan pembelajaran bagi murid dan juga ujian-ujian tentang pembelajaran tersebut. Pelajar pula akan memainkan peranan dengan mencari bahan bacaan tambahan disamping menjawab ujian dan tugasan yang diberikan oleh guru sama ada di kelas ataupun secara online..


Dalam kelas, aku ditugaskan untuk membentangkan  tentang Model A La Carte:

Model A La Carte - kursus yang diambil oleh pelajar secara keseluruhan dalam talian untuk mengiringi pengalaman lain yang pelajarnya telah dididik di sekolah atau pusat pembelajaran bata-dan-mortar. Guru rekod untuk kursus A La Carte ini adalah guru dalam talian. Pelajar boleh mengambil kursus A La Carte sama ada di kampus bata-dan-mortar atau laman web secara atas talian. Ini berbeza dari pembelajaran dalam talian sepenuh masa kerana ia bukan pengalaman keseluruhan sekolah. Pelajar mengambil beberapa kursus A La Carte dan lain-lain secara bersemuka di kampus bata-dan-mortar bagi menambahkan lagi ilmu dan pengalaman yang diinginkan oleh pelajar tersebut.



Perkara ini juga boleh diaplikasikan dalam kelas seperti contoh, sebelum sesi pengajaran kita tamat, kita memberikan pelajar perkara-perkara yang menarik yang berkaitan dengan apa yang dipelajari pada kelas tersebut agar pelajar-pelajar yang meminati dan ingin mempelajarinya dengan lebih mendalam mempunyai peluang untuk mengkajinya sendiri.

DIARI KELAS MINGGU KE 8

Pada kelas kali ini, saya diajar untuk membuat suatu rancangan pembelajaran dimana perkara ini seharusnya ada untuk setiap guru  dan untuk setiap sesi pembelajaran agar sesi pembelajaran tersebut  berjalan dengan lancar.

Rancangan Pembelajaran ini boleh didefinisikan sebagai suatu plan pembelajaran yang dibuat dan akan dijadikan sebagai panduan oleh guru ketika berada di dalam sesi pembelajaran agar masa dan aktiviti yang dilakukan mempunyai makna dan memberi pelajar apa yang dimahukan dalam objektif pembelajaran pada hari itu.

Pada kelas ini, Dr Dorothy menekan pada ketelitian dalam membuat aktiviti yang menarik dan Dr juga memberi cadangan bahawa aktiviti yang dilakukan juga lebih baik jika dimasukkan sekali dengan penggunaan bahan-bahan teknologi.

Penggunaan masa juga ditekankan dalam pelan pembelajaran ini agar masa pembelajaran yang dilakukan tidak berlaku terlalu lama ataupun terlalu sekejap.

Dari sini saya belajar tentang kepentingan aktiviti dan masa yang perlu disusun dengan rapi disamping menyelitkan unsur-unsur penggunaan teknologi selaras dengan pembelajaran abad ke 21. Perkara ini seperti yang sedia maklum, bukan hanya boleh digunakan dalam pendidikan sahaja, malah boleh digunakan dalam pelbagai perkara termasuklah dalam jadual harian.

*Saya lebih suka menggunakan model langkah 9 gagne kerana ianya teratur dan efisyen.


DIARI MINGGU KE 7

Pada kelas kali ini, Dr Dorothy hanya membuat sesi maklumbalas tentang tugasan perbandingan kurikulum yang telah hantar pada Minggu ke 6. 

Perkara ini menunjukkan betapa pentingnya sesuatu maklumbalas pada para pelajar dalam kelas. Perkara ini kurang diberikan perhatian oleh majoriti guru di sekolah. Dari apa yang dibuat oleh Dr. Dorothy ini, saya berazam untuk sentiasa memberikan maklumbalas kepada pelajar-pelajar saya dengan terperinci di masa akan datang.

Dalam kelas kali ini Dr Dorothy tetap dengan pendiriannya iaitu sesi pembelajaran yang berpusatkan pada pelajar. Ini dapat dibuktikan apabila Dr. Dorothy menyuruh kami berbincang dalam kumpulan tentang apa yang perlu ditambah baik dan diperbaiki disamping melihat kepada kumpulan-kumpulan lain yang mampu memberikan hasil yang lebih baik.

Ketika kami melakukan perbincangan ini, Dr. Dorothy hanya meronda kelas, memerhatikan kami. Sekiranya kami memerlukan panduan, maka Dr. Dorothy akan membantu kami dengan memberi cadangan dalam menambah baik tugasan ini.

Tugasan Perbandingan kurikulum ini merupakan suatu tugasan penilaian yang berterusan. Dr. Dorothy meminta kami untuk merangka agar penambahbaikan dapat dibuat sebelum tarikh penghantarannya yang sebenar.